As-Sayyid Ja’far bin
Sayyid Hasan bin Sayyid Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul
al-Barzanji adalah seorang ulama besar keturunan Nabi Muhammad S.A.W dari keluarga Saadah al-Barzanji yang masyhur berasal dari Barzanj di Iraq. Beliau dilahirkan di
Kota Madinah
al-Munawwarah pada tahun 1126H. Keturunan Sayyid Ja'far semuanya
merupakan ulama terkemuka
yang terkenal dengan ilmu dan amal, keutamaan dan kesolehan.
Prof. Dr. al-Muhaddits al-‘Alim al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin
‘Abbas al-Maliki dalam Haul Ihtifaal bi
Dzikra al-Maulid an-Nabawiy asy-Syarif menulis pada halaman 99:
Al-‘Allaamah
al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja’far bin Hasan bin Abdul Karim al-Barzanji
adalah Mufti Syafi’iyyah di Kota Madinah al-Munawwarah. Terjadi perselisihan
tentang tahun kewafatannya. Sebagian ulama menyebutkan bahwa Sayyid Ja’far
meninggal pada tahun 1177 H.
Al-Imam az-Zubaidi
dalam al-Mu'jam al-Mukhtash
menuliskan bahwa beliau wafat tahun 1184 H, dimana Imam az-Zubaidi pernah
berjumpa dengan beliau dan menghadiri majlis pengajiannya di Masjid Nabawi yang
mulia.
Beliau adalah pengarang
kitab maulid yang masyhur dan terkenal dengan nama Maulid al-Barzanji. Sebahagian ulama mengatakan
bahwa nama karangannya tersebut adalah ‘Iqd
al-Jauhar fi Maulid an-Nabiyyi al-Azhar. Maulid karangan beliau ini adalah
diantara kitab maulid yang paling populer dan paling luas tersebar ke seluruh negeri Arab dan Islam, baik di
Timur maupun di Barat. Bahkan banyak dari mereka yang menghafalnya.
Kandungannya merupakan khulashah (ringkasan) Sirah Nabawiyyah
yang meliputi
kisah kelahiran Rasulullah S.A.W, diutusnya beliu S.A.W. sebagai Rasul, hijrah, akhlak, peperangan hingga kewafatan beliau
Rasulullah S.A.W. Kitab Maulid al-Barzanji ini telah disyarahi
oleh al-‘Allamah al-Faqih asy-Syaikh Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad yang
terkenal dengan panggilan Ba’ilisy dengan kitab syarah yang dinamakan al-Qaul al-Munji 'ala Maulid al-Barzanji
yang telah berulang kali dicetak di Mesir. (Beliau Syeikh Ba`ilisy adalah seorang ulama besar lulusan al-Azhar asy-Syarif, bermazhab Maliki lagi Asy`ari dan
menjalankan Tarekat asy-Syadziliyyah. Beliau lahir pada tahun 1217 H/1802
M dan wafat pada tahun 1299 H/1882 M. Karyanya antara lain adalah; Hidayat al-Murid li 'Aqidat Ahl at-Tauhid,
Syarh al-'Aqa’id al-Kubra li as-Sanusi, Hasyiyah 'ala Syarhi ash-Shoghir li
ad-Dardir, Minhu al-Jalil 'ala Mukhtashar Khalil dan Hidayat as-Salik ila Aqrab
al-Masalik fi Furu` al-Fiqh al-Maliki).
Selain Syeikh Ba’ilisy, ulama kita kelahiran Banten Pulau Jawa, yang terkenal sebagai
ulama dan penulis yang aktif
dengan banyak karangannya iaitu Punggawa Ulama Hijaz, an-Nawawi
ats-Tsani, Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi turut menulis
syarah dari kitab Maulid al-Barzanji
yang diberi judul Madarij ash-Shu’ud ila
Iktisa’ al-Buruud.
Begitu juga dari salah
satu cucu Sayyid Ja'far al-Barzanji yang bernama sama dengan adik-beradiknya iaitu Sayyid Ja’far bin Sayyid Isma’il bin Sayyid Zainal ‘Abidin bin Sayyid
Muhammad al-Hadi bin Sayyid Zain al-Barzanji, telah menulis syarah dari kitab Maulid al-Barzanji tersebut yang diberi
judul al-Kaukab al-Anwar ‘ala ‘Iqd
al-Jauhar fi Maulid an-Nabiy al-Azhar. Sayyid Ja'far ini juga adalah
seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif. Beliau juga merupakan seorang
Mufti Syafi`iyyah. Karangan-karangan beliau banyak, di antaranya; Syawahid al-Ghufran ‘ala
Jaliy al-Ahzan fi Fadhail Ramadhan, Mashabih al-Ghurar ‘ala Jaliy al-Kadar dan
Taj al-Ibtihaj ‘ala Dhau’ al-Wahhaj fi Isra’ wa al-Mi’raj. Beliau juga telah
menulis sebuah manaqib yang menceritakan perjalanan hidup dan ketinggian
kakeknya Sayyid Ja'far al-Barzanji dengan judul ar-Raudh al-‘Athar fi Manaqib as-Sayyid Ja’far.
Sayyid Ja'far
al-Barzanji, selain dikenal sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid
Nabawi dan mengajar di masjid yang mulia tersebut. Beliau terkenal bukan saja
karena ilmu, akhlak dan takwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan
doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk hujan pada
musim-musim kemarau. Diceritakan bahwa satu ketika di musim kemarau, di saat beliau sedang
menyampaikan khutbah Jum’at, seseorang meminta beliau beristisqa’ (memohon
hujan). Maka dalam khutbahnya itu, beliau pun berdoa memohon hujan, dengan
serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya hingga seminggu
lamanya, sebagaimana yang pernah terjadi pada zaman Rasulullah
Saw. Menyaksikan peristiwa tersebut, maka sebagian ulamak pada zaman itu telah memuji beliau dengan bait-bait syair yang berbunyi:
“Dahulu al-Faruuq dengan al-‘Abbas beristisqa’ memohon hujan
Dan kami dengan Ja’far pula beristisqa’ memohon hujan
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan
Dan ini wasilah kami seorang Imam yang ‘arif.”
Sayyid Ja'far
al-Barzanji wafat di Kota Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi’, tepatnya di
sebelah bawah maqam nenek moyang beliau dari kalangan anak-anak perempuan
Rasulullah Saw.
Sungguh karya-karya
Sayyid Ja'far telah membawa umat untuk selalu mengingat Rasulullah Saw.
Menjadikan umat lebih mencintai Rasulullah Saw. Menenggelamkan umat dalam
lautan rindu kepada Rasulullah Saw. Setiap kali karangannya dibaca, sholawat
dan salam selalu terlantunkan atas Baginda Nabi Agung Muhammad Saw.
Kegigihan Sayyid Ja’far dalam Menuntut Ilmu:
Semasa kecilnya beliau
telah belajar al-Quran dari Syeikh Ismail al-Yamani, dan belajar tajwid serta
memperbaiki bacaan dengan Syeikh Yusof as-Su’idi dan Syeikh Syamsuddin
al-Misri.
Diantara guru-guru
beliau dalam ilmu agama dan syariat adalah:
(1) Sayyid Abdul Karim
Haidar al-Barzanji
(2) Syeikh Yusuf al-Kurdi
(3) Sayyid Athiyatullah
al-Hindi.
Beliau kemudian
berhijrah dan menetap di Makkah selama lima tahun. Di sana beliau belajar
kepada para ulama besar, diantaranya:
(1) Syeikh Athallah ibn
Ahmad al-Azhari
(2) Syeikh Abdul Wahab ath-Thanthowi al-Ahmadi
(3) Syeikh Ahmad
al-Asybuli
Beliau juga telah mendapatkan ijazah dari para ulama
besar, diantaranya:
(1) Syeikh Muhammad
ath-Thoyib al-Fasi
(2) Sayyid Muhammad
ath-Thobari
(3) Syeikh Muhammad ibn
Hasan al-‘Ajimi
(4) Sayyid Musthofa
al-Bakri
(5) Syeikh Abdullah
asy-Syubrawi al-Misri
Penguasaannya dalam Ilmu Agama
Beliau banyak menguasai
cabang-cabang
ilmu agama diantaranya ialah Sorof, Nahwu, Manthiq,
Ma’ani, Bayan, Adab, Fiqh, Ushul Fiqh, Faraidh, Hisab, Usuluddin, Hadits, Usul Hadits, Tafsir, Hikmah, Handasah, ‘Arudh, Kalam, Lughat, Sirah, Qiraat,
Suluk, Tasawwuf, Kutub Ahkam, Rijal, Mustholahul Hadits.
Karya-karya Beliau:
Karangan beliau cukup banyak diantaranya adalah:
·
Al-Birr al-‘Ajil bi
Ijabat asy-Syeikh Muhammad al-Ghafil
·
Jaliyat al-Kadr bi
Asmai Ashshab Sayyid al-Malaik wa al-Basyar
·
Jaliyat al-Kurb wa
al-Ahadiyyin bi Asma’ Sayyid al-‘Ajam wa al-‘Arab fi Asma’ al-Badriyyin
·
Al-Lujjainiy ad-Daniy
fi Manaqib asy-Syeikh Abdil Qadir al-Jailaniy
·
Ar-Raudh al-Mu’thar fi
Maa Yuhaddi as-Sayyid Muhammad min al-Asy’al
·
Asy-Syiqaq
al-Atrijiyyah fi Manaqib al-Asyraf al-Barzanjiyyah
·
Ath-Thawali’
al-As’adiyyah min al-Mathali’ al-Masyriqiyyah
·
Al-‘Ariyn li Asma’
ash-Shabat al-Badriyyin
·
Fath ar-Rahman ‘ala
Ajwibat as-Sayyid Ramdhan
·
Al-Faidh al-Lathif bi
Ijabat Naib as-Sar’ asy-Syarif
·
Nuhudh al-Laits li
Jawab Abi al-Ghaits
·
‘Iqd al-Jauhar fi
Maulid an-Nabiyyi al-Azhar (Maulid al-Barzanji).
Kemasyhuran Beliau:
Beliau telah diakui
banyak kalangan dan mendapat
kedudukan yang dekat di di samping pembesar Makkah dan
Madinah, serta para
menteri Kerajaan Utsmaniyyah. Kemasyhuran dan
kehebatan beliau telah menyebar ke seluruh pelosok dunia Islam.
Karangan-karangan beliau telah diterima
dan dipuji oleh para ulama yang sezaman dengannya sehingga tersebarlah tulisan-tulisan beliau di kalangan
para penuntut ilmu.
Sifat-sifat Beliau:
Beliau mempunyai akhlak
yang terpuji, jiwa yang bersih, sangat pemaaf dan pengampun, zuhud, amat
berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah, wara’, banyak berdzikir, senantiasa
bertafakkur, mendahului dalam berbuat kebajikan, gemar bersedekah, dan sangat
pemurah.
Sumber Rujukan:
- Al-Kawakib al-Anwar Syarh al-Maulid an-Nabawiy, karangan Sayyid Ja’far ibn
al-Barzanji (keturunan Sayyid Ja’far al-Barzanji) yang wafat pada tahun 1317
H/1899 M. Ditahqiq oleh Syeikh Nada Farj Darwisy, dan disimak oleh Institut
Pengkajian Akademik Universitas
al-Azhar, cetakan Markaz ibn al-Athar li at-Turats, halaman 647-650.
- Kasyf az-Zunun ‘an Asam al-Kutub wa al-Funun, karangan Haji Khalifah, cetakan Dar al-Fikr, Beirut, tahun 1999 M, bab
jim “Ja’far”, jilid 5, halaman 211.
- Al-Asybah wa an-Nadzair, karangan al-Imam
Jalaluddin as-Suyuthiy, cetakan ketiga Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, tahun
2005 M, jilid 2, halaman 225.
- Haul Ihtifaal bi Dzikra al-Maulid an-Nabawiy asy-Syarif, karangan Prof. Dr. al-Muhaddits al-‘Alim al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad
bin ‘Alwi bin ‘Abbas al-Maliki, cetakan al-Fithrah, Surabaya, halaman 99.
No comments:
Post a Comment