Saturday 5 January 2013

Perjalanan Hidup Ulamak Kelantan - Syeikh Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)




               HAJI ABDULLAH TAHIR BUNUT PAYONG (1897-1961)

Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur  alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek,  Hj. Salleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid  Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai  pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.

Kerana  kegigihannya yang sedemikian, maka tidak  peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid  berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai,  Hj. Abdullah Kok  Lanas,  Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman  Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor  Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj.  Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang,  Hj. Yahya joned Gurun,  Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj.  Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj.  Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan  15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang  tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.


                Kawasan Tanah Perkuburan Bunut Payong, Sebelah Belakang Masjid Mukim Bunut Payong

                                         Kubur Allahyarham Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payong

Barisan Ahli Jemaah Ulama' Majlis pada tahun 1964 (Juga antara anak murid Tuan Guru Hj Abdullah Tahir    Bunut Payong seperti Tuan Guru Hj Husein Rahimi, Tuan Guru Hj Abdul Aziz, Pondok Pasir Tumboh,
                                           Tuan Guru Hj Ghazali Pulau Chondong dll)

          Kubur Tuan Guru Hj Husein Rahimi, Anak Menantu  & Anak Murid
                           Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payong
   Kubur Hjh Che Som, iaitu Anak Perempuan Tuan Guru Hj Abdullah Tahir     Bunut Payong & juga Isteri Kepada Tuan Guru Hj Husein Rahimi

No comments:

Post a Comment