Sunday 15 April 2012

Syeikhuna Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki


Biodata: Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Bin Hj. Marbu Bin Abdullah Thaiyyib berasal dari Banjar Masin. Dilahirkan di sebuah desa bernama Harus Amuntai pada 1 September 1960 M. Beliau dan keluarganya kemudiannya menetap di tanah suci Makkah pada tahun 1974. Madrasah Shaulathiah adalah tempat beliau menimba ilmu pengetahuan di sana. Pada tahun 1982 beliau menamatkan pengajian di madrasah Shaulathiah dengan keputusan cemerlang (mumtaz). Sepanjang di Makkah beliau banyak mendapatkan ilmu dari tokoh-tokoh Ulama seperti Syeikh Allamah Hasan Masshath yang digelar Syeikul- Ulama rahimahullah, Syeikh al-Allamah Mohd Yasin Al-Fadani yang bergelar Syeikul Hadith wa Musnidud Dunya, Syeikh Ismail Usman Zain yang digelar Al-Faqih Ad-Darrakah dan ramai lagi tokoh-tokoh ulama di Makkah. Pada tahun 1983 beliau melanjutkan pelajaran ke Univ. Al-Azhar As-Syarif Mesir dalam jurusan Syariah Islamiah hingga mendapat ijazah sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajian di Maahad ‘Ali Liddirasat al-Islamiah di Zamalik hingga mendapat diploma am "Dirasat Ulya" pada tahun 1990. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab berbahasa Arab serta karya ilmiah dalam berbagai bidang. Beliau telah menghasilkan karangan dan mentahqiq kitab-kitab muktabar tidak kurang dari 50 buah karangan.

MURID KESAYANGAN GURU 

Beliau merupakan murid kesayangan gurunya al-maghfurlah Syeikh Ismail Osman Zen al Yamani yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajaknya untuk menemani Tuan guru beliau ke'Madinah menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah Shollallahu alaihi wasallam.
Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyayikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak hairanlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut sahaja ulama' yang ada di Makkah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka.
Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama' yang harum nama mereka disebut orang semisal Syeikh Al-Allamah Hasan Masshath yang digelar syeiku-ul-ulama' rahimahullah, Syeikh Al-Allamah Mohd. Yasin Al-Fadani rahimahullah yang mendapat julukan Syeikhul hadits wa musnidud dunya, Syeikh Ismail Usman Zen rahimahullah yang digelar Alfaqih Ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Tholibin), Syeikh Abd. Karim Banjar hafizohullah, Syeikh Suhaili Al-Anfenani, As-Sayyed Mohd. Alwi Al-Maliki, Syeikh Said Al-Bakistani dan masih banyak lagi, kata pepatah arab 'cakap sahaja tanpa perlu khuatir'. Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanad hingga kepada pengarang, masya Allah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.

MENABUR JASA & MENYANDANG GELAR AZHARUS TSANI

Setelah menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (Azhar ke dua) satu jolokan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universiti al Azhar sendiri.
Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama "Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin" semenjak tahun 1987 hingga 1998 buat pertama kalinya di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di masjid Jamiek al Path di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia.
Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama' muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta'lim beliau telahpun menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan dan ke'afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.

No comments:

Post a Comment