Datuk Nik Mahmud - Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan
NAMA lengkapnya ialah
Nik Mahmud bin Haji Nik Ismail Qadhi bin Haji Mahmud bin Cik Seman. Beliau
meninggal dunia pada 1384 Hijrah/1964 Masihi. Ibunya bernama Wan Aisyah binti
Wan Utsman.
GURU-GURUNYA
Ayahnya, Haji Nik Wan
Ismail Qadhi bin Haji Nik Wan Mahmud adalah sahabat Syeikh Ahmad al-Fathani.
Kedua-duanya adalah ulama besar. Oleh itu Nik Mahmud mendapat pendidikan awal
daripada ayahnya sendiri di Kelantan.
Setelah ayahnya wafat
pada 1315 Hijrah/1898 Masihi, dalam tahun itu juga ibunya Wan Aisyah membawa
Nik Mahmud dan tiga orang anaknya yang lain ke Mekah. Nik Mahmud diserahkan
pengurusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab ilmu-ilmu
dalam bidang keislaman yang dipelajari oleh Nik Mahmud daripada ayahnya
dipandang sudah memadai, maka al-Fathani hanya mendidik Nik Mahmud dalam
bidang-bidang ilmu khusus, terutama ilmu pentadbiran dan siasah, serta
diperlengkapkan lagi dengan ilmu pertahanan diri.
Sepanjang pendidikan
pengkaderan putera-putera Melayu di Mekah yang dilakukan oleh al-Fathani, tidak
ramai yang berbakat dalam ilmu pentadbiran dan siasah. Tetapi yang pasti,
tercatat dua orang dari kerajaan Riau-Lingga, iaitu Raja Ali Kelana dan Raja
Khalid Haitami (cucu Raja Ali Haji). Mereka yang berasal dari Kelantan pula
ialah Nik Mahmud dan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id yang kemudian dikenali
memperoleh gelaran Datuk Laksamana.
Hubungan antara Nik
Mahmud dengan Muhammad bin Muhammad Sa'id selanjutnya adalah saudara ipar,
kerana Nik Mahmud berkahwin dengan Che Aisyah, adik kepada Haji Muhammad bin
Muhammad Sa'id.
Walaupun pendidikan di
Mekah yang diperoleh Nik Mahmud tidak begitu lama, namun semua guru kepada
ulama-ulama yang saya tulis dalam artikel terdahulu juga menjadi guru kepada
Nik Mahmud. Selanjut al-Fathani mengirim Nik Mahmud ke Mesir.
Pendidikan khusus untuk
Nik Mahmud diberikan oleh al-Fathani di Bukit Jabal Suaidan, Mekah. Pendidikan
siasah diberikan dengan menggunakan permainan catur. Sedangkan pendidikan
pertahanan diri diberikan di tanah lapang, di tempat yang sama dengan
menggunakan pedang, keris dan lainnya.
Untuk memahirkan ilmu
pertahanan diri, Nik Mahmud sentiasa membuat latihan di Bukit Jabal Suaidan
yang disaksikan sendiri oleh al-Fathani.
Sebelum menceritakan
pendidikan Nik Mahmud di Mesir, di sini saya petik satu peristiwa mengenai Nik
Mahmud, Tok Kenali dan lain-lainnya bersama guru mereka, al-Fathani dalam
perjalanan ke Beirut dan Mesir.
Sewaktu al-Fathani
mendapat mandat daripada ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan
peristiwa khilafiyah antara Sayid Yusuf bin Ismail an-Nabhani (Beirut) dengan
Syeikh Muhammad Abduh (Mesir), al-Fathani telah mengajak beberapa orang
muridnya menemui kedua-dua ulama tersebut.
Telah menjadi tradisi
al-Fathani dan ulama-ulama lainnya, jika akan menyelesaikan masalah-masalah
besar, mereka sentiasa bermunajat di tempat-tempat yang makbul. Oleh itu ketika
sampai di Tursina, beliau berdoa secara berjamaah. Untuk Nik Mahmud, al-Fathani
berdoa, ``minta supaya Allah memberinya kedudukan orang besar di kerajaan
Kelantan ... ``
Doa di Tursina ternyata
dikabulkan Allah, kerana setelah Nik Mahmud kembali ke Kelantan, akhirnya
beliau digelar sebagai Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.
Beberapa pucuk surat
al-Fathani di Mekah kepada Nik Mahmud ketika belajar di Mesir sebagai bukti
kesungguhan al-Fathani memberikan pendidikan untuk mengangkat martabat bangsa
Melayu, sebagaimana pesannya kepada Nik Mahmud, ``Dan mudah-mudahan anakanda
meninggikan hemah pada mendapatkan barang yang sayugia mendapatkan dia, bagi
seumpama diri anakanda di dalam ini masa, supaya terangkat dengan yang demikian
itu oleh nama jenis Melayu, berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada
segala hati ajanib (orang asing, pen:). Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka
itu sebagai tamadun yang muafakat dengan syara.'' (Surat bertarikh 19
Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi).
Surat yang sama
maksudnya dengan bahagian yang saya petik ini juga pernah dikirim kepada Sultan
Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, dan sultan-sultan dalam negeri Melayu
lainnya.
Bukti kesungguhan dan
penuh rasa tanggungjawab al-Fathani terhadap Nik Mahmud dapat kita pelajari
daripada kalimat beliau, ``Dan tatkala sampai surat anakanda kepada bonda
anakanda, daripada kenyataan minta tambah lima junaih itu, maka ia beri kepada
Abang Awan Kenali dua junaih sahaja. Maka Abang Awan Kenali pun terima hendak
pergi kirim kepada anakanda atas tangan Syeikh Abdul Hamid Kudus. Maka sampai
khabar itu kepada ayahanda. Maka ayahanda hentikan dia dahulu. Dan ayahanda
suruh akan dia minta tambah biar cukup lima junaih. Kemudian datang bonda
anakanda ke rumah ayahanda bermusyawarat pada demikian itu, lalu ayahanda minta
daripadanya kirim cukup juga kerana takut kepayahan hendak mengirim ...''
(Surat bertarikh 19 Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi).
AKTIVITI DI KELANTAN
Nik Mahmud sewaktu
bergelar Dato' Bentara Setia, bersama-sama Tok Kenali dan Haji Muhammad bin
Haji Muhammad Sa'id, berhasil menubuhkan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan. Perisytiharan oleh Sultan Muhammad IV di Istana Balai Besar
pada 24 Disember 1915.
Majlis Ugama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Kelantan berhasil menerbitkan majalah Pengasuh, Tok Kenali
sebagai Ketua Pengarang yang pertama. Terbitan pertama 11 Julai 1918. Majalah
Pengasuh masih terbit sampai sekarang, bererti majalah inilah majalah Islam di
dunia Melayu yang paling lama dapat bertahan.
Nik Mahmud secara rasmi
sebagai pentadbir dan diplomat tertinggi Kelantan mulai 29 April 1921, dengan
gelar Dato' Perdana Menteri Paduka Raja. Beliau menggantikan Che Hassan bin
Mohd. Salleh yang memegang jawatan Dato' Menteri Kelantan yang meninggal dunia
pada 22 Januari 1921. Datuk Nik Mahmud meletak jawatan pada 27 Disember 1945,
diganti oleh anaknya Nik Ahmad Kamil hingga tahun 1953. Istilah yang digunakan
setelah terbentuk Persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memakai Perdana Menteri,
diganti dengan Menteri Besar.
Sangat banyak aktiviti
Datuk Nik Mahmud sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan
saya tinggalkan saja, saya berkesimpulan bahawa beliau adalah Perdana Menteri
Kelantan/Menteri Besar yang paling terkenal dalam sejarah Kelantan sama ada
sebelum atau pun sesudahnya.
KARYA-KARYA
Walau pun Datuk Nik
Mahmud merupakan tokoh dan ulama sebagai pentadbir tertinggi di dalam
pemerintahan kerajaan negeri Kelantan pada zamannya, namun beliau sempat juga
menghasilkan beberapa buah karya. Di antaranya yang sempat diterbitkan ialah:
* Cahaya Purnama Bagi
Menerangkan Jalan Ugama. Ia diselesaikan di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Syaaban
1336 Hijrah/12 Mei 1918 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah Majlis Ugama Islam dan
Istiadat Melayu Kelantan. Kandungannya membicarakan perkara-perkara fardu ain,
dimulai perbicaraan ilmu tauhid dan disudahi mengenai mengerjakan haji.
* Tajuk Kemuliaan.
Diselesaikan pada 21 Syaaban 1350 Hijrah/31 Disember 1931 Masihi. Dicetak oleh
Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan Mathba'ah Asasiyah,
Kelantan, 1350 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya membicarakan akhlak.
* Ringkasan Cetera
Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-raja Dan Tarikhnya. Diselesaikan pada 8
Ramadan 1351 Hijrah/4 Januari 1933 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah
Company Kelantan, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungannya menceritakan asal usul
keturunan raja-raja Kelantan, Patani, raja-raja yang memerintah dari peringkat
awal hingga ke zaman pengarangnya (Datuk Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja
Kelantan) dan lain-lain. Pada kata Pendahuluan/dinyatakan bahawa sejarah ini
disalin daripada tulisan Pak Wan Mahmud, Menteri Besar yang ditulis dalam tahun
1197 Hijrah, diambil daripada perkataan Pak Bedulah (Abdullah). Dinyatakan oleh
pengarang bahawa beliau telah membandingkan dengan naskhah yang lain dengan
cermat, maka yang diatur ini adalah yang lebih sahnya.
* Perbendaharaan
Mustika. Diselesaikan hari Isnin, 2 Jamadilawal 1363 Hijrah. Cetakan pertama
Ismailiyah Press, Kota Bharu, Kelantan (tanpa tahun cetak). Dicetak atas
kebenaran Nik Mustafa Fadhil (Datuk Seri Amar Diraja) bin Nik Mahmud.
Ditandatangani oleh Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis
Ugama Islam Kelantan pada tarikh 21 Julai 1946 Masihi. Kandungannya mengupas
Al-Asmaul Husna, menghuraikan ilmu hikmah yang diamalkan oleh golongan khas.
* Pati Rahsia.
Diselesaikan pada 1 Rejab 1363 Hijrah. Cetakan yang ketiga Haji Daud bin Haji
Abu Bakar al-Ahmadi, 3296-B, Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu, Kelantan,
1389 Hijrah/1969 Masihi. Dicetak atas perbelanjaan Nik Ahmad Kamil (Datuk Seri
Setia Raja) bin Nik Mahmud, dan dicetak atas kebenarannya. Ditandatangani oleh
Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis Ugama Islam
Kelantan pada tarikh 15 Jun 1946 Masihi, bilangan (3) 136/46. Kandungannya
mengupas ilmu hikmah menggunakan berbagai-bagai, isim, wirid, doa, dan
lain-lain.
KETURUNANNYA
Di antara anak Datuk
Nik Mahmud yang menjadi tokoh atau pembesar sama ada di Malaysia mahupun
peringkat antarabangsa ialah Tan Sri Datuk Nik Ahmad Kamil (meninggal dunia 20
Disember 1977). Di antara anak Tan Sri Datuk Nik Ahmad Kamil pula ialah Tan Sri
Datuk Nik Ibrahim Kamil, sekarang Pengerusi Southern Investment Bank Berhad,
Kuala Lumpur.
Sumber: Utusan
Malaysia (ARKIB : 15/03/2004)
No comments:
Post a Comment